IPOH – Seorang guru sekolah menengah di Teluk Intan yang terjatuh dari bot semasa memancing di Sungai Bidor petang semalam, ditemui mati lemas petang ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mayat Zainal Abidin Abu Yamin, 52, dari Taman Melor ditemui kira-kira 500 meter dari tempat beliau dipercayai terjatuh.
“Mayatnya ditemui dalam keadaan baik dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya.
Zainal Abidin pergi memancing bersama seorang rakannya dengan bot berasingan sebelum rakannya itu menyedari mangsa tidak kelihatan di dalam botnya ketika mereka dalam perjalanan pulang. – BERNAMA