LAMAN web bola sepak antarabangsa, Goal.com pada minggu ini memilih penyerang Selangor Ahmad Hazwan Bakri sebagai ‘Pemain Terbaik Asia Tenggara’.
Pemain bola sepak berusia 24 tahun ini dipilih atas kejayaannya menjaringkan dua gol sekali gus melayakkan Selangor menjuarai Piala Malaysia selepas menumpaskan Kedah 2-0, dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Dengan pemilihan ini, Hazwan menewaskan dua calon Asia lain iaitu penjaga gol Saraburi FC, Pisan Dokmaikaew dan penjaga gol Semen Padang, Jandia Eka Putra.
Menurut kenyataan Goal.com, walaupun prestasi Hazwan dilihat tidak begitu menonjol pada musim ini, namun kecekalannya membuahkan hasil kepada pasukan.
“Dia membuktikan sentuhan berbisanya Sabtu lalu menerusi jaringan dua gol yang telah memberi tekanan kepada pasukan Kedah.
“Itu adalah sumbangan terbesarnya buat pasukan, sekali gus membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia dan menamatkan kemarau kejuaraan itu selama 10 tahun,” tulis laman itu.
Ahmad Hazwan menampilkan kemampuan sebenar sebagai penyerang skuad Gergasi Merah apabila menyumbang dua gol seawal minit ketiga dan minit ke-47 bagi menamatkan penantian Selangor selama 10 tahun bagi meraih gelaran ke-33 dalam sejarah perlawanan bola sepak berprestij itu.
Ahmad Hazwan sebelum ini, turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan final Piala Malaysia. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=KQx8huJ9Xk0]