BUTTERWORTH – Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 28 warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di tujuh premis pusat urut di negeri ini semalam.
Penolong Pengarahnya Abdul Rahman Hassan berkata 27 wanita dan seorang lelaki berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan dalam Ops Ikrar Sayang yang dijalankan bermula 3 petang hingga 10 malam tadi.
“Bertindak hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, kami membuat pemeriksaan ke atas tujuh pusat urut, lima di bahagian pulau iaitu dua di Jalan Penang, masing-masing sebuah di Sungai Pinang, Jalan Perak dan Krystal Point serta di Bukit Mertajam dan Butterworth,” katanya di sini Khamis.
Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 49 individu termasuk 22 lelaki yang merupakan penjaga premis dan pelanggan di pusat urut berkenaan.
“Selepas pemeriksaan, kami menahan 28 warga asing yang terdiri daripada 16 wanita Thailand, empat wanita dan seorang lelaki warga Indonesia, Vietnam (empat wanita), China (dua wanita) dan seorang wanita Filipina,” katanya.
Abdul Rahman berkata siasatan mendapati ada di antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri, menyalah guna pas lawatan sosial dan tiada permit kerja.
Mereka yang ditahan disiasat menurut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963, katanya.
Beliau berkata semua mereka dibawa balik ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak 24 pegawai dan anggota Imigresen terlibat dalam Ops Ikrar Sayang itu dan kami akan meneruskan operasi berkenaan pada masa hadapan dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” katanya. – BERNAMA