JAKARTA – Peserta dari Indonesia, Maria Harfanti berjaya mengharumkan nama negara Asia tenggara itu setelah meraih tempat ketiga dalam pertandingan berprestij tahunan Ratu Cantik Dunia atau Miss World 2015.
Ini merupakan kali pertama Indonesia mencipta rekod menduduki tiga tempat teratas dalam pertandingan yang bertaraf antarabangsa itu, dan pada tahun ini diadakan di bandar raya Sanya, wilayah Hainan, selatan China.
Tempat pertama dirangkul oleh Mireia Lalaguna Royo, 23; dari Sepanyol yang juga kali pertama negara Eropah itu melakar sejarah muncul sebagai juara, sementara tempat kedua pula diduduki wakil Rusia, Sofia Nikitchuk, 22.
Maria, anak kelahiran Yogyakarta berusia 23 tahun itu mula aktif dalam pelbagai kegiatan bertaraf antarabangsa sejak menuntut di Universiti Trisakti dan kini menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Indonesia.
Baca: Anggun Jadi Juri Ratu Cantik Perancis 2016
Ratu Cantik Indonesia 2015 itu memberikan jawapan dengan penuh yakin terhadap soalan Pengerusi Pertubuhan Miss Indonesia, Liliana Tanoesoedibjo mengenai nilai yang perlu dijunjung tinggi oleh setiap wanita Indonesia.
“Wanita harus memegang teguh norma, punya dedikasi terutama untuk keluarga, masyarakat dan negara,” ujar Maria pada kemuncak acara tersebut berlangsung meriah di Beauty of Crown Theatre pada 19 Disember lalu.
Dengan kemenangan sebagai Ratu Cantik Indonesia, beliau kemudian berjaya menewaskan ramai peserta hebat antarabangsa yang lain dan menjulang nama negara di tempat ketiga, dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia itu.
Bahkan, Maria juga dilaporkan berjaya memenangi kategori ‘Beauty with a Purpose‘, melalui program inisiatif sosialnya untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi penduduk daerah terpencil di seluruh Indonesia.
Baca: Rakyat Jepun Kecewa Miss Universe Jepun Tiada Rupa Jepun
Peserta dari 114 buah negara menyertai Miss World 2015 yang merupakan tahun kali ke-65 penganjuran serta disiarkan secara langsung stesen televisyen satelit antarabangsa E! dan Phoenix TV dari Hong Kong, China.
Acara itu dihoskan oleh Tim Vincent, Megan Young dan Angela Chow. Sebanyak 17 negara menarik diri daripada Miss World 2015 antaranya Belarus, Chad, Greece, Israel, Kanada, Kosovo, Lithuania, Mesir dan Switzerland.
Bagaimanapun sembilan buah negara memutuskan untuk menyertai semula saingan Miss World pada kali ini iaitu Botswana, Bulgaria, Chile, Honduras, Kazakhstan, Macedonia, Samoa Amerika, Saint Kitts and Nevis dan Zambia.
Miss World Organization yang berpusat di London, Britain sudah pun menganjurkan acara berkenaan sejak 1951. Pada tahun 2016, pertandingan tersebut akan diadakan pula di Bali, Indonesia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA