KOTA KINABALU – Hanya 31 tangkapan dibuat sepanjang tempoh pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) tahun ini berbanding 121 pada tahun lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Beliau berkata mereka yang ditangkap tahun ini merupakan warga Filipina terdiri tujuh lelaki dan enam wanita, Indonesia (empat lelaki) manakala 13 lelaki serta seorang wanita lain-lain bangsa.
“Daripada 31 orang itu, enam orang dijatuhkan hukuman penjara, sembilan didenda manakala yang lain dibebaskan,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
Jalaluddin berkata jumlah permit menangkap ikan yang dikeluarkan meningkat kepada 9,420 dalam 23 fasa perintah berkurung yang dilaksanakan tahun ini, berbanding 3,867 dalam 11 fasa tahun lepas.
Arahan perintah berkurung fasa pertama mula berkuat kuasa pada waktu malam sejak 19 Julai tahun lepas dan arahan itu diperbaharui setiap dua minggu.
Arahan itu dikuatkuasakan susulan insiden serangan kumpulan bersenjata ke atas dua anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai tahun lepas merangkumi enam daerah di ESSZone iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.
Pada 21 Sept lepas, Jalaluddin mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung itu diperluas ke daerah Beluran. – BERNAMA