Pada yang masih ingat, bulan Februari lalu pelakon Elly Mazlein pernah berkongsi berita gembira memaklumkan dirinya hamil anak sulung setelah dua bulan mendirikan rumah tangga.
BACA: Elly Mazlein Sahkan Sudah Hamil Anak Sulung
Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa isteri kepada pengarah drama Azmi Hatta ini mengalami keguguran ketika kandungan berusia lapan minggu.
Reda dengan ketentuan Ilahi, Elly kembali meneruskan hidup dengan sokongan keluarga tersayang.
Tanpa disangka, ternyata rezeki milik Elly apabila dia sekali lagi disahkan hamil pada Jun lalu dan kini usia kandungannya sudah mencecah enam bulan.
Mengambil ikhtibar kejadian lalu, Elly memilih untuk merahsiakan kandungannya dan mengikut pesan orang tua-tua.
“Syukur dengan nikmat dan rezeki diberikan. Tak sangka pula secepat ini. Memang seronok apabila diberitahu hamil lagi. Perasaan itu hanya Allah yang tahu.
“Setiap hari apabila bangun solat Subuh, saya akan mengusap perut sambil mengucap syukur. Boleh dikatakan anak dalam kandungan sangat aktif
“Macam kehamilan pertama dulu saya teruja berkongsi dengan peminat. Kandungan kali ini, saya ikut nasihat orang tua kalau kandungan sudah kuat baru boleh kongsi.
“Disebabkan itu saya kunci mulut pada awal kandungan. Seperti dijanjikan, saya berkongsi berita gembira ini sempena hari jadi saya pada 17 Disember lalu,” ujarnya.
Menurut Elly, dia dijangka bersalin pada 30 Mac 2016 dan bakal melahirkan anak perempuan. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=2tFoZ-bv9G4]