KUALA LUMPUR – Kenaikan kos sara hidup terus menjadi fokus para pembahas ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung pergerakan Pemuda UMNO 2015 di PWTC di sini hari ini.
Rata-rata pembahas yang mewakili Pemuda negeri mahukan kerajaan melakukan sesuatu agar kenaikan itu dapat ditangani bagi meringankan beban rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi Dan Yunus ketika membahaskan usul ekonomi memberikan beberapa cadangan bagi menanganinya termasuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada penduduk bandar yang mempunyai gaji bulanan sehingga RM4,000.
“Ini kerana mereka yang tinggal di warga kota, gaji sebanyak ini masih lagi dikategori sebagai miskin bandar.
“Mereka kini terbeban dengan beberapa kenaikan seperti tol dan kenaikan tambang pengangkutan awam dan sebab itu cadangan ini perlu difikirkan,” katanya yang mewakili Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.
Jefree Zain Affendi juga turut meminta kerajaan memudahkan rakyat membeli rumah mampu milik kerana kini sebahagian besar rakyat masih belum mampu memilikinya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pensiangan yang mewakili Pemuda UMNO Sabah, Jehan Ongkomon @ Md Osman juga mahu kerajaan mengambil langkah sama membantu rakyat di negeri itu.
Bagi Ketua Pemuda UMNO Tanjung Malim yang mewakili Pemuda UMNO Perak, Mohamad Amin Othman, beliau mahu kerajaan membela nasib penduduk luar bandar dan Felda yang sebelum ini merupakan penyokong kuat kepada UMNO.
“Kita tidak mahu mereka beralih sokongan dan wajarlah beberapa agensi membantu mereka seperti memberikan insentif agar penduduk di situ dapat berdikari seperti berniaga dan menceburi bidang pertanian bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya.
Beliau juga mahu kerajaan menyelesaikan masalah rumah yang dihadapi generasi kedua Felda yang kini tidak mampu memilikinya dan masih menumpang di rumah anggota keluarga yang lain. – BERNAMA