KUALA LUMPUR – Definasi zalim ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak tepat kerana ia dibuka untuk dibahas dan dipersetujui berdasarkan majoriti undi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Itu bidasan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam perbahasan di Dewan Negara di sini pada Selasa berhubung kenyataan Senator Siti Aishah Shaik Ismail yang mendakwa RUU MKN konon bersifat zalim.
“Definisi zalim saya hendak beritahu apabila ada seorang yang ada personaliti, ada kuasa tetapi kuasa yang ada telah disalahgunakan kepada rakyat di bawah jajahannya.
“Tidak pernah lagi dalam mana-mana sejarah, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), ahli parlimen BN, ahli Dewan Negara BN menangis minta pembelaan seperti berlaku kepada ADUN PKR Penanti.
“Menangis di dalam sesi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kerana sudah bertahun-tahun jadi ADUN Penanti ditipu parti sendiri,†kata Megat Zulkarnain sewaktu membahaskan RUU MKN di Dewan Negara pada Selasa.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada insiden di mana Dr. Norlela Ariffin yang kecewa kerana luahan dan persoalannya berhubung dana pembangunan penduduk kawasan Penanti diwakilinya diabaikan kerajaan negeri.
“Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan, setiap hari saya tunggu jawapan, tetapi tidak jawab, saya buang masa sejam… Exco YB Seberang Jaya tak jawab, YB Batu Lanchang tak jawab.
“Kawasan saya kawasan kampung yang terpinggir, saya bawa suara orang kampung… ,†luahnya cukup sayu dalam sidang DUN Pulau Pinang pada 19 November lalu.
Menurut Megat Zulkarnain, keadaan itu adalah bukti betapa kerajaan negeri DAP Pulau Pinang jauh lebih zalim terhadap penduduk negeri berkenaan terutama kaum Melayu yang menetap di luar kawasan perbandaran.
Lantaran itu, tuduhan bahawa kuasa yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di dalam MKN adalah demi kepentingan peribadi beliau katanya, adalah tuduhan cukup jahat dan tidak boleh diterima akal.
“Jangan menipu rakyat, jangan dimomokkan RUU ini salah, ini melanggar etika kita sebagai ahli dewan negara.
“Saya pun tidak setuju RUU akan merosakkan generasi akan datang, rosakkan kepada keturunan saya, sedangkan undang-undangnya jelas, aman. Jangan menuduh macam-macam, berilah pandangan,†katanya.
Selain itu, pembangkang juga katanya telah menyalahertikan definisi darurat apabila membacanya dengan penuh kebencian sedangkan tiada apa yang perlu ditakuti oleh rakyat terhadap RUU MKN. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA