KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan melaksanakan konsep Hospital Kluster melibatkan hospital awam di seluruh negara tahun depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.
Beliau berkata konsep perkongsian sumber hospital itu yang antaranya bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di hospital awam difokuskan di hospital awam terlebih dahulu sebelum diperluaskan dengan kerjasama hospital swasta.
“Konsep ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan perlu dipastikan ia berkesan di hospital awam terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke hospital swasta,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Yoo Wei How pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Yoo mahu kementerian menyatakan bagaimana konsep Hospital Kluster seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan dapat mengintegrasi hospital awam dan swasta selain sama ada konsep itu dapat memastikan peningkatan khidmat perubatan dan kecemasan di negara ini.
Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata pada masa ini terdapat tiga kluster sebagai projek perintis iaitu Kluster Pahang Tengah yang melibatkan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Jerantut dan Hospital Jengka, Kluster Melaka (Hospital Besar Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin) dan Kluster Tawau (Hospital Tawau, Hospital Kunak dan Hospital Semporna).
Konsep Hospital Kluster adalah semua hospital kerajaan berhampiran berkongsi dan memperluaskan sumber perubatan, perkhidmatan, kepakaran termasuk khidmat pediatrik dan pembedahan.
Dr Hilmi berkata setakat ini ketiga-tiga hospital kluster perintis telah dapat menambah baik khidmat kesihatan secara menyeluruh, mengurangkan kesesakan di hospital negeri terutama kes-kes kecemasan dan memberi keselesaan kepada pesakit.
Selain daripada konsep ini, beliau berkata satu lagi program iaitu Lean Healthcare akan turut diperluaskan di 13 hospital negeri dan tiga hospital pakar tahun depan.
Setakat ini Lean Healthcare telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Melalui Lean Healthcare, kami akan mengenal pasti masalah di setiap hospital untuk mengurangkan kesesakan dan masa menunggu,” tambahnya. – BERNAMA