BALING – Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan tarikh pembayaran pampasan untuk mangsa yang cedera dan waris jemaah haji yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada 11 Sept lepas.
Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, proses tersebut dijangka memakan masa yang lama memandangkan jumlah mangsa yang terlibat adalah banyak dan daripada pelbagai negara.
“Jadi kita minta waris mangsa yang terlibat untuk bersabar sedikit, mungkin dalam Januari ini saya akan beri kenyataan penuh berkaitan perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tujuh jemaah Malaysia terkorban dalam tragedi kren tumbang itu dan menurut Saudi Press Agency, Penjaga Dua Kota Suci iaitu Raja Salman telah memerintah pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera.
Terdahulu, Abdul Azeez melancarkan program Khatan Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, melibatkan lebih 1,000 kanak kanak berusia 7 hingga 15 tahun.
Sebanyak 22 doktor dan seorang mudim kampung terbabit dalam program khatan itu yang dilakukan secara percuma.
Mudim tersebut Mohd Rizal Abd Ghani, 40, dari Kampung Pantai Cicar Kuala Ketil, di sini berkata khidmat mudim kampung masih lagi diterima masyarakat terutama musim cuti persekolahan.
“Setiap tahun musim cuti sekolah, saya dan keluarga yang boleh melakukan khatan mampu melakukan khatan lebih seribu kanak kanak setiap tahun di beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.
Berpengalaman mengkhatankan kanak kanak sejak beliau berusia 16 tahun hingga kini, Mohd Rizal yakin masyarakat akan terus mengunakan khidmat mudim kampung walaupun trend terkini yang menggunakan khidmat doktor.
“Saya masih mengamalkan bacaan surah Al-Quran di telinga kanak kanak yang hendak dikhatankan dan mengunakan daun pisang untuk membalut luka dan mengunakan bahan ubatan tradisional warisan keluarga mudim untuk menyembuhkan luka,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]JhI5inWDiDw[/wpdevart_youtube]