PADANG BESAR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Isnin melancarkan perkhidmatan baharu tren ulang-alik antara Stesen Keretapi Padang Besar di sini, dengan Stesen Keretapi Hat Yai, Thailand.
Presiden KTMB, Sarbini Tijan, berkata perkhidmatan tren dengan kapasiti 168 penumpang itu akan beroperasi dua kali sehari bermula jam 7.30 pagi waktu Thailand dari Stesen Keretapi Hat Yai.
Ia mengambil masa kira-kira 55 minit untuk tiba di Stesen Keretapi Padang Besar Malaysia di Perlis dan begitulah sebaliknya jika tiada apa-apa masalah besar timbul sepanjang perjalanan tersebut.
Tren sama akan bergerak semula dari Padang Besar ke Hat Yai pada pukul 9.55 pagi (waktu Malaysia), sementara perjalanan kedua dari Hat Yai ke Padang Besar, pada pukul 1.05 petang (waktu Thailand).
Perjalanan terakhir dari Stesen Padang Besar ke Hat Yai ialah pada pukul 3.40 petang (waktu Malaysia).
Baca: KTMB Lancar Tren Shuttle JB-Singapura 14 Kali Sehari
“Perkhidmatan tren shuttle Hat Yai dan Padang Besar akan menggunakan set kereta api diesel (DRC) milik State Railway of Thailand (SRT) bermula esok (Selasa),” katanya ketika ditemui di sini petang Isnin.
Beliau berkata, perkhidmatan tren baru ini adalah inisiatif bersepadu KTMB menerusi Jabatan Antarabandar dan Kargo serta pihak SRT dalam memperkasakan sosio ekonomi kedua-dua negara.
Ia juga sebagai usaha penggalak kepada industri pelancongan merentasi sempadan antara dua buah negara yang berjiran.
“Pakatan strategik ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan dua hala Malaysia-Thailand dan KTMB selaku operator rel terunggul negara,” katanya. – BHarian Online
[wpdevart_youtube]qthdQxU7nPc[/wpdevart_youtube]