SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 24 tahun yang menjadikan warga emas sebagai sasarannya untuk menyamun telah ditahan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata suspek yang terlibat dengan 23 kes samun warga emas di Seremban, Nilai dan Port Dickson ditahan di Teluk Kemang minggu lepas.
Beliau berkata suspek yang tidak bekerja dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan bergerak secara solo.
“Modus operandinya ialah dengan menghampiri mangsa dan pura-pura bertanyakan rumah untuk disewa dan kemudian meminta air untuk diminum.
“Apabila mangsa masuk ke dalam rumah untuk mengambil air, suspek akan mengekori mangsa dan melakukan samun terhadap mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut dirampas daripadanya ialah 13 utas jam, lapan telefon bimbit, sebuah komputer riba, seutas rantai leher emas, dua pasang subang emas, dua loket emas, sebentuk cincin perak, sebuah kamera, tiga keping surat pajak gadai dan sebuah kereta.
“Mangsa turut mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit mencabul kehormatan dan melakukan samun bersenjata,” kata Jaafar.
Sementara itu beliau berkata tiga orang suspek yang dipercayai terlibat dengan kes membunuh seorang lelaki yang dipercayai pencuri lembu telah ditahan.
Mereka yang berusia antara 24 hingga 42 tahun ditahan di Linggi, Rembau, semalam.
Sabtu lepas, mayat seorang lelaki berumur 38 tahun ditemui di Ladang Bukit Bertam, Lubuk Cina manakala rakannya yang berusia 17 tahun pula didapati cedera parah akibat dipukul.
Kedua-dua mangsa dipercayai berniat untuk mencuri lembu di ladang tersebut berdasarkan peralatan seperti alat pelali dan ubat pelali serta bulu lembu yang ditemui di dalam kereta mereka. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Al1QmHJzz-A[/wpdevart_youtube]