LONDON – Seorang lelaki dibawa ke hospital selepas dia menikam kepalanya sendiri bertubi-tubi di Lapangan Terbang Heathrow sehingga mencetuskan panik, kata polis.
Akhbar Guardian melaporkan, seorang penumpang yang enggan dikenali melihat seorang lelaki seakan warga Arab Saudi atau Afrika Utara, menikam kepalanya berulang kali dengan pisau hingga berlumuran darah.
“Dia tidak menyerang sesiapa, jadi saya tidak fikir ia adalah serangan pengganas,” katanya.
Seorang lagi penumpang, Tamara Lynch berkata lelaki itu juga menikam dirinya di leher sebelum membuka jaket dan cuba menikam dada.
“Saya tidak nampak senjata yang digunakan tapi dia memang mahu menikam dirinya. Muka dan pakaiannya berlumuran darah,” katanya.
Lelaki itu akhirnya ditahan kakitangan syarikat penerbangan sebelum pihak keselamatan, paramedik dan polis tiba.
Jurucakap Heathrow berkata lelaki itu dipercayai mengambil pisau dari sebuah kedai di balai berlepas selepas melalui pemeriksaan keselamatan.
Dia telah dibawa ke hospital dan dilapor dalam keadaan stabil.
London diletakkan di bawah amaran tertinggi selepas insiden tikaman di stesen kereta api bawah tanah awal bulan ini. – AFP/BH ONLINE