KUALA KRAI – Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih terutama di Kampung Ghucil 7, dan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Jajahan Kuala Krai berkurangan kepada 46 orang pagi ini berbanding 54 orang malam tadi.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Krai Muhamad Hanif Omar berkata setakat ini seramai 39 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Ghucil 7 masih ditempatkan di Dewan Pejabat Veterinar Kuala Krai.
Sementara tujuh mangsa daripada satu keluarga dari Kampung Olak Jeram pula masih ditempatkan di Madrasah Mesek, katanya kepada Bernama hari ini.
Muhamad Hanif berkata berikutan cuaca cerah dan situasi banjir di Kampung Ghucil 7 semakin pulih, dijangka lebih ramai mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
Walau bagaimanapun keadaan di Kampung Olak Jeram masih digenangi air, katanya. – BERNAMA