MELAKA – Kerajaan Melaka akan memantau secara dekat perkembangan atlet olahraga remaja negara, Badrul Hisyam Abdul Manap bagi memastikan anak jati Melaka itu menjadi pelari pecut terbaik Malaysia pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak mahu pelari berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin dekat sini, terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mungkin memberi pandangan atau nasihat yang tidak sepatutnya kepada pelari muda itu.
Justeru, katanya kerajaan negeri mengarahkan Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim memantau perkembangan Badrul Hisyam dalam memastikan atlet itu mendapat sokongan sepatutnya bagi menjadi pelari pecut yang disegani.
“Kita tidak mahu mensia-siakan bakat beliau dan kita akan memerhati Badrul dengan lebih dekat dan kita merancang untuk bantu meningkatkan prestasinya, kita akan terus memberi sokongan kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Melaka di sini hari ini.
Badrul Hisyam melakar sejarah memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek dengan catatan 10.29s, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod milik Watson, di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN 2015 di Brunei pada 23 Nov. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]gA_8OyKH7Ww[/wpdevart_youtube]