PADANG BESAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta agar setiap anggota sukarela Askar Wataniah (AW) membina perwatakan seperti ‘askar’ yang komited terhadap tugas dan tanggungjawab tanpa mengira masa dan kepentingan diri.
Baginda bertitah walaupun digelar sebagai anggota sukarela, ini tidak bermakna anggota tersebut tidak berpengetahuan atau tidak berdaya saing dalam bidang yang diceburi.
“Sebagai anggota tentera di abad ke-21, setiap warga sukarela juga harus berada di tahap dan landasan yang sama dengan anggota tetap, di samping sentiasa positif dalam semua aspek pekerjaan dan melaksanakannya dengan cemerlang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan penutup Latihan Kem Tahunan Sukarela Rejimen 504 AW Tahun 2015 di perkarangan Dataran Arked Bazar Padang Besar, pada Isnin.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 AW bertitah setiap anggota sukarela AW yang profesional juga mestilah mempunyai ‘Etos Ketenteraan’ yang mantap antaranya percaya kepada tuhan, disiplin, bermaruah, integriti, kerjasama, pengorbanan dan kesetiaan.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Timbalan Komander Rejimen 504 AW Leftenan Kol Azhar Ahmad serta pegawai kanan rejimen itu.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Romli Dai dan Panglima Markas Wilayah Laut III Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Rosli Yoob.
Turut diadakan pelancaran platun AW Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang disempurnakan oleh baginda yang juga Tuanku Canselor kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). – BERNAMA