PUTRAJAYA – Selepas tertangguh selama dua minggu akibat cuaca buruk di Messner Inlet, penjelajah negara kita ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah akhirnya memulakan misi penjelajahannya.
Berita itu dimaklumkan Shahrom menerusi mesej khidmat pesanan ringkasnya kepada sekretariat Misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia Rentas Kutub Selatan 2015 pada Khamis.
Ujarnya, pesawat khas dari Union Glacier akhirnya dibenarkan terbang ke Messner Inlet sebaik cuaca disana dilaporkan baik dan selamat untuk pendaratan pesawat.
Menurut Penasihat Misi, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Shahrom mendarat di Messner Inlet tepat 12.40 tengah hari Rabu waktu tempatan atau 11.40 malam Rabu waktu Malaysia.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Shahrom akhirnya dapat memulakan misi penjelajahannya ke titik kosong darjah Kutub Selatan selepas dua minggu terkandas di Union Glacier berikutan cuaca tidak mengizinkan di Messner Inlet sebelum ini.”
Tambah Akmar Hisham, walaupun misinya tertangguh, mental dan fizikal Shahrom tidak terjejas kerana beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan sejak dari awal lagi dan amat memahami sebarang situasi yang akan mengganggu kelancaran misi penjelajahannya itu.
Katanya lagi, Shahrom sememangnya mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang cukup kuat kerana latar belakangnya sebagai seorang atlet sukan lasak duathlon dan triathlon.
Ia sekali gus diyakini dapat mengharungi segala rintangan dalam usahanya mencipta satu lagi sejarah untuk negara ini iaitu menjadi rakyat Malaysia pertama menjelajah dengan ski ke Kutub Selatan sejauh 1,000 kilometer.
Sementara itu, menurut Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, sebaik mendarat di Messner Inlet, Shahrom terus memulakan perjalanannya sejauh 8 kilometer.
“Saya dimaklumkan bahawa Shahrom memulakan misi penjelajahannya sejauh 8 kilometer sebaik mendarat di Messner Inlet dan beliau mengambil masa selama tiga jam untuk menamatkan jarak itu untuk hari pertama”.
Menurut Qobin lagi, Shahrom pada Jumaat akan menggandakan tempoh masa penjelajahannya dari tiga jam kepada enam jam dan seterusnya pada hari berikutnya akan meningkat lagi kepada lapan jam sehari.
“Hari pertama semalam saya rasa  sudah cukup bagus bagi Shahrom yang berjaya menamatkan perjalanannya sejauh lapan kilometer dalam masa tiga jam.
“Dan itu saya anggap sebagai sesi penyesuaian diri bagi Shahrom untuk mendapat rentak dan kelajuannya berski di atas permukaan salji di benua paling sejuk itu”, jelas Qobin.
Shahrom dalam penjelajahannya ke Kutub Selatan menerusi misi yang dikelolakan oleh Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), untuk mencipta satu lagi rekod baru anak Malaysia dipersada antarabangsa.
Misi Dinamakan Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada awal Julai lalu.
Dalam misi ekspedisi itu, Shahrom turut membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan daripada sebuah syarikat Bumiputera, yang membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan.
Teknologi itu memudahkan ia diminum sebagai air hidrogen beralkali khusus untuk memberi tenaga tambahan dan segala bahan mineral yang diperlukan oleh Shahrom sepanjang penjelajahannya itu.
Shahrom yang berlepas dari tanahair ke Punta Arenas, Chile pada 12 November lalu, turut terkandas di Punta Arenas kerana cuaca tidak mengizinkan di Union Glacier.
Sebaik berjaya memasuki Union Glacier dengan pesawat komersial pertama melakukan penerbangan masuk ke Union Glacier, Shahrom terkandas lagi selama dua minggu disitu untuk ke Messner Inlet. – Myewshub.cc/HAA