JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor ACP Mohd Taib Ahmad dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara (JBU) berkuat kuasa hari ini.
Mohd Taib, 55, yang berkhidmat selama enam tahun sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, mengambil alih tugas daripada Pemangku Ketua Polis JBU Supt Beh Eng Lai yang juga Timbalan Ketua Polis daerah.
Sebelum ini, Beh memangku jawatan itu selama lima bulan bagi menggantikan ACP Mohd Khamsani Abd Rahman yang bersara pada Ogos.
Majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Puncak Harmoni, Ibu Pejabat Polis JBU itu disaksikan Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Aishah Mohammad.
Mohd Taib yang berasal dari Ayer Baloi Pontian telah berkhidmat selama 34 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah bertugas di unit cawangan khas dan pengurusan di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Sarawak dan Selangor. – BERNAMA