KUALA LUMPUR – UMNO akan mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin jika Timbalan Presiden parti itu didapati melakukan perkara yang melampaui batasan.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika didapati benar tindakan melampaui batasan telah dilakukan, maka terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk tentukan tindakan yang akan diambil.
“Kalau kita masih mahu mendukung (menyokong) sesiapa yang melakukan tindakan melampaui batasan supaya dia dikekalkan, maka tunggulah ketikanya akan berlaku kebobrokan (keburukan) dalam kepimpinan, dan ini akan menyebabkan kesukaran dalam mana-mana organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama editor kanan Bernama diketuai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Mokhtar Hussain bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang berlangsung mulai hari ini sehingga Sabtu.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata bagi Muhyiddin dan penyokongnya, tindakan melakukan provokasi terhadap kepimpinan parti mungkin tidak dianggap sebagai melampaui batasan, “tetapi tentunya interpretasi ini pelbagai.”
Ditanya mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap Muhyiddin yang dilihat telah melampaui batasan, Ahmad Zahid berkata itulah kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat keputusan bukan sekadar untuk penyelesaian jangka pendek.
“Ini dapat diselesaikan dengan memperlihatkan terdapat ketelusan dan terdapat beberapa pengurusan isu yang tidak ada agenda yang disembunyikan. Rakyat semakin celik dan mereka mahu tahu kedudukan perkara sebenarnya,” katanya.
Mengenai Majlis Tertinggi UMNO yang dikatakan sukar untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin, dengan usul perlu dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO untuk mengambil tindakan itu, Ahmad Zahid berkata:
“Usul harus diberikan notis tapi kita tidak dapat menghalang jika ada di kalangan jurucakap yang menyarankan hal yang sedemikian. Tentunya sebagai sebuah parti yang dinamik, suara akar umbi akan didengar.
“Tindakan yang akan diambil (terhadap Muhyiddin), jangan dipersalahkan kepada kepimpinan jika ia berlaku,” katanya.
Menyentuh mengenai langkah parti mengubah tradisi kali ini dengan perasmian ketiga-tiga sayap dilakukan oleh ketua pergerakan masing-masing, Ahmad Zahid berkata ia tidak harus dianggap sebagai sekatan (kepada Muhyiddin).
“(Malah) ada kebebasan bersuara biarpun di luar acuan parti tetapi suara itu tetap didengar terutama oleh ahli UMNO,” katanya yang merujuk kepada ‘Majlis Bersama Timbalan Presiden UMNO’ yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini, semalam.
Berkenaan dakwaan beberapa veteran UMNO bahawa parti itu sudah menjadi parti diktator dan tiada lagi demokrasi dalam UMNO, Ahmad Zahid berkata “walau seliberal manapun pendekatan dilakukan, kalau bertanya kepada musuh, sebaik mana sesuatu yang dilakukan, ia tidak baik pada pandangan musuh.”
Mengulas mengenai peranan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Ahmad Zahid berkata usaha pengukuhan sedang dilakukan oleh kepimpinan parti dengan turun ke negeri-negeri bagi memperjelaskan tentang isu semasa, selain untuk mendapat maklum balas berkenaan masalah anggota UMNO.
“Kita harus jangan lihat hanya pilihan raya umum tetapi melihat apabila perayaan kemerdekaan negara ke-100 tahun pada 2057, adakah UMNO masih relevan dan adakah orang Melayu masih memberi sokongan. Adakah rakyat Malaysia memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]x0XMByte-Co[/wpdevart_youtube]