PETALING JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang amat tenang dan berani dalam menghadapi apa jua isu serta cabaran semasa.
Justeru, katanya Perdana Menteri tidak takut dengan sesiapa kerana beliau sangat tenang dalam mengendalikan apa jua keadaan.
“Malah kita lihat pemimpin Syria dan Libya gagal untuk mempertahankan negara mereka, sebaliknya negara kita masih kukuh dan mampu bertahan di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di sini, Khamis malam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin dalam blognya hari ini bahawa Najib tidak pernah berani atau tegas.
Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapan perasmian AKHI berkata akademi yang mengambil sempena nama arwah bapanya Tun Hussein Onn itu mampu manjadi institusi yang melahirkan pemimpin UMNO pada masa depan.
Beliau percaya akademi itu berupaya menjadi medan terbaik untuk membina ideologi UMNO dan memberi pemahaman yang jelas tentang perjuangan sebenar parti tertua negara ini.
“Saya mahu AKHI menjadi institusi yang akan melahirkan kepemimpinan UMNO yang mampu mempertahankan wadah perjuangan parti dan negara pada masa depan.
Hadir sama Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. – BERNAMA