ZAMAN sekarang, bermacam-macam taktik serta modus operandi yang digunakan oleh penjenayah demi melunaskan kerja jahat mereka.
Antaranya yang perlu diberikan perhatian, penjenayah menggunakan taktik menoreh beg tangan mangsa untuk mendapatkan dompet dan barangan berharga di dalamnya.
Inilah yang terjadi kepada rakan pengguna Facebook, Yin Zaim yang menceritakan kisah bagaimana kawannya hampir menjadi mangsa jenayah samun.
Menurutnya, insiden berlaku ketika kawannya itu sedang membeli-belah sambil mendukung anak.
Sementara membelek-belek barang, dia menyedari terdapat sekumpulan orang cuba menghimpit dirinya di satu ketika.
Kemudian ketika hendak membayar barangan yang dibeli di kaunter juruwang, barulah kawannya itu perasan begnya telah ditoreh.
Mujurlah nasib menyebelahi dirinya, walaupun begnya teruk ditoreh namun dia tidak kehilangan wang ringgit kerana bahagian yang ditoreh itu hanya diletakkan lampin pakai buang anaknya sahaja.
Nasib mangsa yang ini sungguh baik.. nasib kita belum tentu lagi. Jadi sentiasalah berhati-hati dan perhati orang sekeliling.
Yang penting, jangan sesekali leka dengan beg dan barangan berharga yang dibawa bersama. – MYNEWSHUB.CC
Guru diserang penyamun