BRINCHANG – ‘Ops Gading 2’ bagi menangani kegiatan pertanian haram dan pencerobohan tanah di Cameron Highlands bakal dilaksanakan sekiranya masih ada petani yang melanggar undang-undang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata para petani seharusnya mengambil pengajaran menerusi pelaksanaan ‘Ops Gading’ yang diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 4 Disember tahun lepas.
“Jika mereka tidak patuh undang-undang, maka Ops Gading 2 akan menyusul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia ke-35 di Hotel Copthorne di sini malam tadi.
Ops Gading melibatkan 300 anggota daripada 16 agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pegawai dari Pejabat Peguam Negara.
Menurut Adnan, kerajaan negeri juga akan sentiasa mencari penyelesaian bagi membantu kira-kira 1,000 petani kecil yang turut terjejas oleh operasi itu.
“Setahun dah cukup lama untuk mereka dan kerajaan negeri akan memastikan mereka yang benar-benar petani kecil boleh meneruskan aktiviti pertanian untuk menyara keluarga mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya.
Adnan juga berkata sehingga hari ini, kerajaan negeri berpuas hati dengan usaha penanaman semula hutan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri.
Ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan negeri akan memperuntukkan tanah untuk dijadikan tapak semaian hutan, beliau berkata itu bukan isu kerana pihaknya lebih mementingkan projek penanaman semula hutan diperluaskan lagi.
“Saya juga ingin menegaskan, Cameron Highlands tidak terjejas kerana pembalakan memandangkan pokok yang tumbuh di sini bukannya spesies balak, terutamanya di hutan lumut tetapi tanah kerajaan negeri diceroboh oleh mereka yang terlibat dengan pertanian haram,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Jb5_2_1qvas[/wpdevart_youtube]