JOHOR BAHRU – Seramai 60 orang ditahan, manakala seorang gadis bawah umur warga Vietnam diselamatkan dalam dua Operasi Noda Khas di Muar malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri SAC Kamarul Zaman Mamat berkata operasi membanteras kegiatan maksiat dan pelacuran serta aktiviti pemerdagangan manusia itu, menyerbu sebuah bistro di Jalan Susur Tengah 1, Taman Kampung Tengah dan sebuah cafe di Jalan Mulia, kedua-duanya terletak di Sungai Abong, Muar.
“Seramai 53 wanita warga Vietnam, tiga wanita warga Thailand, tiga lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga tempatan ditahan, kesemua berumur antara 18 hingga 29 tahun.
“Manakala, seorang gadis warga Vietnam berumur 15 tahun diselamatkan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata dua daripada lelaki tempatan yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007 iaitu memperdagangkan wanita bawah umur.
“Kesemua warga tempatan itu direman empat hari mulai hari ini manakala warga asing itu akan direman di bawah Imigresen selama 14 hari,” kata beliau.
Sementara itu, mangsa bawah umur itu ditempatkan di rumah perlindungan sementara siasatan dijalankan, kata beliau. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]YQ8dPBQLeY8[/wpdevart_youtube]