KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan cemas dengan penjelasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pilihan yang ada pada rakyat Malaysia berhubung landskap politik Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 pagi semalam.
Berikutan itu, tiga tonggak Pakatan Harapan iaitu Lim Guan Eng (DAP), Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Parti Keadilan Rakyat) dan Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah ucapan Presiden UMNO tersebut.
Mereka mendakwa, Najib tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu kerana ia kononnya sebagai berbaur perkauman.
“Pakatan Harapan menyeru kaum Melayu tidak terperangkap dengan permainan perkauman. Kami yakin rakyat tidak akan terheret ke dalam permainan perkauman.
“Pakatan Harapan akan terus menumpukan kepada isu-isu penting rakyat seperti kos sara hidup yang meruncing, sistem percukaian yang tidak adil, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menekankan tata kelola,” kata mereka dalam satu kenyataan media hari ini.
Ketiga-tiga mereka mendakwa isu yang dihadapi Najib tidak ada kena mengena dengan perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Ironinya, Najib pagi Khamis membuat kenyataan itu bukan mengenai dirinya tetapi bagi menjelaskan tentang kepentingan kaum Melayu terus memberi sokongan kepada UMNO.
Najib semalam mengingatkan rakyat Malaysia terutama kaum Melayu dan Bumiputera hanya mempunyai dua pilihan dalam landskap politik Malaysia.
Pilihan pertama terus menyokong Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh UMNO atau memberi kuasa kepada Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.
Justeru, Najib melahirkan kebimbangan tentang nasib kaum Melayu memandangkan DAP sebuah parti yang menolak dasar kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]3av0_P4VktA[/wpdevart_youtube]