EKORAN gagal membawa keluar mayat wanita sebarat 200 kilogram menggunakan tangga, sepasukan bomba di Kelantan terpaksa dihubungi untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.
Mayat Zaima Abdullah, 37 tahun, dibawa turun menggunakan tali dengan bantuan jentera bomba dari tingkat satu sebuah premis di Jalan Bayam, Kota Bharu, pada Jumaat.
Arwah yang mempunyai penyakit kencing manis dan jantung dipercayai meninggal dunia pada Khamis.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ismadi Mohamad Said berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan membekal barangan basah dikatakan mahu tidur di premis terbabit.
Allahyarham dilaporkan tidak mahu pulang ke rumahnya di Kampung Tikat, Jalan PCB.
“Ahli keluarga memujuk supaya mangsa pulang ke rumah, namun dia enggan dan pagi tadi (semalam), mereka cuba menghubunginya tetapi tidak dijawab.
“Keluarganya kemudian pergi ke premis berkenaan sebelum mendapati mangsa telah meninggal dunia di dalam bilik tidur,” katanya.
Keluarga mangsa kemudian cuba membawa mayat wanita berkenaan keluar dari premis berkenaan tetapi gagal, sebelum bertindak menghubungi pihak bomba.
Operasi menurunkan mayat wanita berkenaan memakan masa satu jam setengah dengan menggunakan alat pengusung yang diikat pada tali dan dibawa turun ke atas jentera bomba.
Sumber: Sinar Harian
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=T2EUdfJ2O08]