KUALA LUMPUR – PAS memberi jaminan kerajaan Kelantan dan kerajaan negeri yang turut ditadbir parti itu iaitu Selangor akan memberi kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha saling membantu itu demi kesejahteraan dan faedah rakyat.
“Dalam usaha PAS untuk membangunkan negara dengan syariat Islam, PAS akan sentiasa menjadi parti `checks and balances’ kepada Kerajaan Persekutuan.
“PAS kini memerintah negeri Kelantan dan Selangor bersama pakatan tahaluf,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad menegaskan, PAS bukan sebuah parti politik yang mendambakan kuasa pemerintahan sebaliknya sebuah parti politik yang mementingkan agenda dakwah dan tarbiyah.
Justeru, katanya, PAS tidak mahu melihat negara ini hancur disebabkan percaturan politik yang hanya menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat sebaliknya perlu menjadi pencatur untuk umat Islam berpadu.
Namun, katanya, PAS tidak akan bergabung dengan UMNO dan Barisan Nasional sehinggalah UMNO melaksanakan syariat Islam di negara ini sepenuhnya. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]iZrKlOR4Ry0[/wpdevart_youtube]