PERSEKITARAN Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara seolah-olah dilanda ‘jerebu manusia’ berikutan kunjungan ribuan anggota UMNO bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 pagi Rabu.
Perhimpunan tahunan terbesar yang diadakan selama lima hari itu telah membuka tirainya Selasa malam dengan menghimpunkan lebih 10,000 ahli perwakilan daripada 191 bahagian UMNO dari seluruh negara.
Persidangan tahunan kali ke-69 ini turut menghimpunkan kesemua sayap parti yang terdiri daripada Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan paling pasti iaitu tulang belakangnya, Pergerakan Wanita UMNO.
Meskipun perhimpunan terbesar parti umat Melayu Islam terbesar di dunia itu tiada menyaksikan pemilihan jawatan, keadaan PWTC tetap meriah ditambah lagi cuti panjang persekolahan akhir tahun.
Berikut antara gambar suasana kemeriahan hari kedua Perhimpunan Agung UMNO yang turut ditunggu-tunggu ribuan anggota parti keramat tersebut selain penyokong Barisan Nasional dari seantero dunia.
Keseluruhan gerai jualan yang kebiasaannya menghiasi setiap kali Perhimpunan Agung UMNO secara rasminya telah dibuka kepada semua pengunjung yang tidak putus-putus keluar masuk PWTC.
Pelbagai jenis gerai dan aksi unik peniaga memulakan operasi mereka dengan menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung turut mewarnai suasana seolah-olah berada di pasar malam yang penuh meriah.
Seperti pada perhimpunan sebelum ini, restoran eksklusif Riverside senantiasa dipenuhi ribuan pengunjung yang menjamu selera bagi mengisi waktu ketika menunggu acara seterusnya.
Premis pakaian terkenal Jakel dilihat mendapat sambutan hangat daripada pengunjung khasnya kaum Hawa dengan menawarkan mana kadar diskaun untuk semua pembelian kain dan sampin songkek.
Tidak ketinggalan gerai busana ternama Ariani yang menyaksikan berduyun-duyun pelanggan khasnya ahli-ahli Puteri UMNO leka memilih tudung beraneka corak terkini di pasaran.
Jualan cenderahati UMNO yang berada di tingkat dua juga dilaporkan begitu laju pada kali ini apabila kadar harga yang berpatutan membuatkan keadaan premis mereka seperti `pisang goreng panas`.
Bagi yang baharu menerima anugerah pingat dan darjat kebesaran, mereka mungkin tercari-cari lencana atau lambang gelaran untuk dipasang pada kenderaan masing-masing.
Tidak sukar untuk mencarinya kerana terdapat sebuah booth yang menjual lencana berkenaan dan tidak dilupakan juga buat nombor plat kenderaan Patriot juga membuka jualan sederet dengan premis terbabit.
Tidak dinafikan, golongan wanita dan hobi membeli-belah sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu jugalah keadaan di PWTC yang cukup menggamit kehadiran mereka berbelanja besar.
Berduyun-duyun pengunjung wanita dilihat menyerbu premis jualan pakaian di luar dewan meskipun ketika Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin masih lagi  sedang berucap.
Sebaiknya semasa pemimpin sedang berucap, tumpukanlah sepenuhnya perhatian kerana terdapat banyak amanat dan mesej penting dalam ucapan mereka. – MYNEWSHUB.CC