KREATIF dan berinovatif, itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada idea hebat pemilik restoran Frijoles & Frescas Grilled Tacos yang berpusat di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Ini kerana restoran terkenal tersebut telah dimasuki dua orang pencuri yang berniat untuk mencuri wang di dalam cash register atau mesin jualan premis itu pada pukul 3.33 pagi 16 Disember lepas.
Namun pendekatan yang digunakan oleh pihak restoran berkenaan dalam usaha menjejaki dua pencuri tersebut dilihat sangat kreatif dan bersahaja.
Mereka telah menghasilkan video berbentuk komedi disertakan dengan muzik latar belakang yang menarik yang menunjukkan bagaimana insiden kecurian bermula sehingga ke penghabisan.
Video ini turut disertakan dengan kapsyen atau keterangan gambar yang menarik untuk menggambarkan setiap gerak geri dua pencuri ini.
Pengurus restoran berkenaan, Greg Carlson berkata: “Sememangnya kami menginginkan pertolongan daripada pihak awam untuk menjejaki pencuri ini.
“Namun apabila melihat aksi mereka dalam rakaman litar tertutup (CCTV), kami rasakan tindakan mereka melucukan dan kami hasilkan video ini untuk menjadikannya lebih menarik.”
Lebih menyedihkan bagi dua perompak berkenaan, menurut Carlson, cash register yang dicuri itu tidak mengandungi walau satu sen wang.
Video yang diberi nama Burglars Just Want Tacos ini menjadi hit dan setakat ini telah ditonton oleh 2 juta penonton seluruh dunia. – Sumber: NBC New York
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=kzdv4FUHqP8&w=420&h=315]