BESUT – Polis menahan seorang pemuda bersama-sama 1,000 biji pil dadah yang disorok di dalam kereta Perodua Myvi dalam serbuan di Jalan Pasir Akar, Hulu Besut di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah berkata turut dirampas dalam serbuan pada 1.30 tengah hari itu ialah wang tunai berjumlah RM2,762, daripada pemuda berusia 23 tahun dan berasal dari Kelantan itu.
Serbuan oleh sekumpulan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Besut itu menjumpai 1,000 pil dadah bernilai kira-kira RM10,000 di dalam kereta berkenaan, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
“Suspek yang berseorangan itu ditahan setelah memberhentikan Perodua Myvi di tepi Jalan Pasir Akar dipercayai menanti pelanggannya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan enam paket plastik mengandungi pil berwarna kemerahan dan kehijauan yang diletakkan di beberapa tempat dalam keretanya selain wang tunai bercampur-campur,” kata Khaled.
Hasil soal siasat ke atas suspek, polis bertindak menggeledah rumahnya di Pasir Putih, Kelantan dan menemukan sebuah motosikal Honda EX5 yang diakui dicuri oleh suspek di Kuala Besut, katanya.
“Suspek juga mendedahkan bahawa dia mendapat bekalan dadah berkenaan dari seorang pembekal di Rantau Panjang (Kelantan) untuk diedarkan kepada penagih di kawasan Besut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952. – BERNAMA