KUALA LUMPUR – Tindakan DAP membantah langkah kerajaan menyekat peserta luncur angin dari Israel dariapda mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi mengguris perasaan umat Islam negara ini.
Naib Ketuanya, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Moktar berkata, kenyataan DAP itu mengguris perasaan rakyat Malaysia dan pencinta keamanan sejagat yang sentiasa mengambil peduli tentang nasib rakyat Palestin.
“Kami kecewa atas kenyataan DAP yang menyelar tindakan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kononnya Menteri Belia dan Sukan itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
“Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak untuk menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Mohd. Fakhrulrazi menginggatkan DAP supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum agama.
DAP Perak semalam menyelar Menteri Belia dan Sukan kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi hari ini.
Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin dipetik berkata, Khairy Jamaluddin menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
Kata beliau, sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik. – MYNEWSHUB.CC