SERDANG – Pendekatan langsung secara peribadi dapat mendidik orang ramai khususnya golongan muda mengenai etika penggunaan internet berbanding pembelajaran menerusi kaedah taklimat atau ceramah semata-mata.
Pengarah Kanan Jabatan Advokasi dan Jangkaaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata
pendekatan itu sememangnya berkesan seperti yang dilihat menerusi Kejohanan Debat SKMM 2015.
Katanya program julung kali itu dilihat berkesan mendidik golongan muda kerana setiap peserta bukan sahaja perlu membuat penyelidikan sebelum berdebat, malah hujah yang dilontar juga berdasarkan pengalaman sendiri.
“Cara seperti ini dapat mengasah cara peserta berfikir mengenai penggunaan internet berbanding iklan komersil atau memberi penekanan terhadap undang-undang semata-mata,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan majlis penutup Kejohanan Debat SKMM 2015 di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Eneng Faridah berkata debat berkenaan berkonsepkan Parlimen Britain, dengan adanya blok kerajaan dan pembangkang untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan internet termasuk jenayah siber.
“Melalui program ini, kita dapat memupuk nilai murni dalam kalangan orang ramai khususnya pembahas,” katanya sambil menyatakan pada masa ini, pengguna internet dalam kalangan orang muda berjumlah 20.1 juta orang.
Kejohanan itu diadakan sejak Jumaat lepas hasil kerjasama SKMM dengan Kelab Debat “Serdang Royals” Universiti Putra Malaysia dan disertai 40 pasukan terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara.
Pertandingan itu dimenangi wakil Kejohanan Debat Sekolah-sekolah Sedunia yang dianggotai oleh Rafiq Saladdin dan Don Siron Pereira.
Rafiq, 23, ketika ditemui berkata pihaknya hanya membuat keputusan untuk menyertai kejohanan debat itu pada Jumaat lepas tetapi yakin pengalaman mereka mampu membawa kemenangan.
Sementara itu, Don Siron, 23, yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik berkata topik mengenai internet dan media sosial memang tidak dapat dipisahkan dengan golongan muda.
Mereka membawa pulang hadaih wang tunai RM2,000 dan piala. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]QEaNbRNWCEA[/wpdevart_youtube]