BATU PAHAT – Seorang penumpang yang terselamat dalam nahas bas di Thailand mendakwa bas yang dinaikinya bersama rakyat Malaysia yang lain berkeadaan tidak elok.
Perkara itu diceritakan Tan Yang Soon, 64, kepada anaknya Tan Sien Nian, 36, yang melawat bapanya di Hospital McCormick, Chiang Mai.
Sien Nian seorang peniaga berkata bapanya yang berpengalaman sebagai pemandu lori memberitahunya bahawa bas itu agak usang, brek tangannya gagal berfungsi sementara kerusi penumpang tidak mempunyai tali pinggang keselamatan.
“Menurut bapa saya, pada hari pertama, rombongan mereka disediakan bas dua tingkat sebelum ditukar bas lain pada hari kedua kerana terdapat anggota rombongan yang sukar menaiki bas dua tingkat.
“Pada satu ketika, pemandu bas beritahu brek tangan bas tidak berfungsi. Ini membuatkan bapanya serta beberapa penumpang lain meluru membantu menarik brek tangan bas itu, namun ia masih gagal berfungsi sehingga bas terbabas tiga minit kemudian,” katanya di rumah urus mayat Kesatuan Hoon Cheow Tong.
Rumah mayat itu menempatkan jasad neneknya Low Chee Lan, 85, ibu saudaranya, Tan Sui Heng, 54, bapa saudaranya, Ker Bong Ngwang, 57, serta kakaknya Tan Thin Thin, 39, yang terbunuh dalam kejadian itu.
Sien Nian yang dibawa ke Chiang Mai oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan rombongan rakyat Malaysia itu berkata bapanya yang patah kaki kiri kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh dua minggu lagi.
Sepupu wanitanya Ker Shin Hui, 28, juga terselamat dan dirawat di hospital yang sama dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dua bulan lagi.
Seramai 13 orang daripada 22 rakyat Malaysia maut dalam nahas pada Ahad lalu itu apabila bas yang mereka naiki dilapor berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai menuju Chiang Mai. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]R1wzWkvQ_BI[/wpdevart_youtube]