SHAH ALAM – Perkarangan Stadium Shah Alam yang kebiasaannya lengang bertukar seolah-seolah menjadi sebuah tapak pesta hiburan apabila penyokong Kedah dan Selangor berkumpul sejak 1 tengah hari bagi menyaksikan final Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan.
Tinjauan Bernama di sekitar perkarangan stadium mendapati penyokong kedua-dua pasukan sudah mula membanjiri kawasan berkenaan sambil turut mengambil kesempatan membeli jersi dan makanan ringan di beberapa buah gerai di sekitar perkarangan stadium yang dibuka oleh beberapa peniaga tempatan.
Salah seorang peniaga jersi yang hanya mahu dikenali sebagai Ghani, 51 berkata, beliau agak gembira kerana memperolehi keuntungan yang agak lumayan sejak semalam sehingga terpaksa menambah bilangan t-shirt dan jersi yang dijual.
“Alhamdulillah, hasil jualan jersi sejak semalam boleh dikatakan agak lumayan walaupun terdapat persaingan daripada beberapa gerai lain yang turut menjual jersi dan t-shirt pasukan Selangor dan Kedah.
“Sebelum ini, pakcik jarang memperolehi keuntungan yang agak besar seperti yang diperoleh sejak semalam dan pakcik amat bersyukur,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan menjual jersi pasukan tempatan sejak beberapa tahun lepas.
Dalam pada itu, peniaga makanan ringan yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 45 dari Kuala Selangor mengakui jualan makanan dan minuman ringan yang dijalankan bersama suaminya, Abdullah, 53 di perkarangan Stadium Shah Alam sejak beberapa tahun lepas mendatangkan hasil yang agak memuaskan.
“Makcik tak ingat berapa kali berniaga sempena perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir diadakan di sini (Stadium Shah Alam) pada 2013 tapi apa yang makcik nampak hasil jualan sentiasa mendatangkan keuntungan,” kata Ramlah yang menjual pelbagai jenis makanan ringan seperti keropok, burger serta beberapa jenis minuman ringan.
Sementara itu, salah seorang penyokong Kedah, Khairul Amri Mohamad, 34 dari Sungai Petani yang tiba di Shah Alam sejak semalam, berharap skuad Helang Merah dapat menamatkan penantian tujuh tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2008 hasil kemenangan tipis 3-2 ke atas Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Pada 2008, saya tidak dapat menyaksikan final Piala Malaysia kerana sedang melanjutkan pelajaran di luar negara tetapi kali ini saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan yang dijangka menarik ini.
Pandangan sama turut disuarakan oleh anak jati Shah Alam, Ahmad Anas Marzuki, 25 yang merupakan seorang pelajar di salah sebuah universiti swasta di Subang Jaya berharap Selangor dapat menamatkan ‘Misi 33’ yang sudah lama tertangguh.
“Sebelum ini, saya lebih suka duduk di rumah tapi disebabkan desakan segelintir kawan-kawan saya yang juga penyokong Selangor, saya datang juga untuk menyaksikan perlawanan ini dan berharap kemenangan menjadi milik Selangor,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]hCU2DSG4_X4[/wpdevart_youtube]