KANGAR – Perlis akan menggantikan perarakan Maulidul Rasul yang sering dilakukan sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW itu dengan mengadakan ‘bulan pendidikan’ atau percambahan ilmu, kata Mufti kerajaan negeri, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mohd Asri meminta pengurusan masjid di seluruh negeri membuat jadual program berkenaan sepanjang bulan Rabiulawal ini.
“Ceramah harus ada kaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW supaya ia menjadi panduan kepada umat Islam,” katanya semasa menyampaikan ceramah mingguan beliau di Masjid Alwi di sini, malam tadi.
Mohd Asri berkata sejarah kelahiran Rasulullah, peperangan, kekeluargaan, sifat serta perbuatan yang ada kaitan sehingga baginda wafat adalah antara perkara-perkara yang boleh menjadi bahan ceramah sepanjang bulan pendidikan itu.
Beliau turut menasihatkan para pegawai masjid termasuk imam, bilal dan siak supaya sentiasa berdisiplin melaksanakan tanggungjawab kerana mereka dibayar elaun.
“Saya memberi nasihat ini kerana menerima aduan daripada orang ramai yang tidak senang dengan sikap segelintir pegawai masjid seperti lewat datang bertugas dan imam tidak hadir,” katanya. – BERNAMA