KUALA LUMPUR – Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memadamkan beberapa bahagian dalam pernyataan pembelaan saman yang difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan didengar pada 18 Jan depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas menemui peguam Choo Shin Jin yang mewakili perdana menteri dan peguam Aliff Benjamin Suhaimi mewakili Pua.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan Pua sebagai defendan pertama untuk membatalkan saman yang dikemukakan Najib terhadapnya, pada tarikh yang sama (18 Jan).
Turut hadir, peguam Shahid Adli Kamaruddin mewakili pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam kes saman itu.
Choo ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut menetapkan 29 Jan depan bagi mendengar permohonan Najib untuk batalkan beberapa bahagian dalam pernyataan pembelaan Chan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata pada 13 Nov tahun lepas, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.
Beliau berkata rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya dalam laman YouTube dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.
Najib mendakwa rakaman ucapan itu mengandungi kata-kata fitnah yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya, sebagai individu yang dikenali sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk secara spesifik kepada beliau.
Beliau mendakwa ucapan Pua bermaksud antara lain, bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.
Najib berkata penerbitan ucapan Pua itu telah merosakkan reputasinya kerana ia boleh diakses dan dikongsi secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web. – BERNAMA