IPOH – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANP) pada Sabtu berjaya muncul memecah rekod baharu dunia dengan membina piramid buku terbesar.
Rekod lama sebelum ini dipegang oleh rangkaian kedai buku Ernster di Luxembourg pada 29 Jun lalu yang dilakukan sempena degan ulang tahun ke-125 syarikat itu.
Projek di negara kecil Eropah tersebut mengambil masa lebih lapan minggu untuk disiapkan dengan ukuran piramid iaitu 4.5 meter lebar dan 3 meter tinggi.
Kali ini pihak PPANP dengan kerjasama Imagika Sdn. Bhd., rekod baharu itu berjaya dicatatkan menerusi 70,247 buku berbanding rekod terdahulu hanya sebanyak 63,377 buku.
Cubaan untuk memecahkan rekod dunia itu bermula sejak November lalu apabila semua buku mula disusun di Stadium Indera Mulia di sini sempena Pesta Buku Bos Gaurus 2015.
Rekod baharu tersebut kemudian diumumkan secara rasmi oleh wakil Guinness Book of Records, Anna Orford. – mStar Online