HULU TERENGGANU – Seorang warga emas yang mengidap penyakit jantung dan angin ahmar, Juwari Ali, 88, merupakan antara mangsa banjir yang diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat ke pusat pemindahan hari ini.
Beliau dibawa keluar dari rumahnya ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Seri Putih, Tok Lawit apabila air banjir naik hingga ke paras 0.5 meter.
Juwari berkata, beliau yang tinggal bersama anaknya, Siti Mariam Zakari, 64 mula bimbang apabila air naik mendadak dan masuk ke bahagian dapur setinggi paras lutut.
“Tok (nenek) memang risau pada mulanya sebab Tok tidak dapat berjalan dan perlu diusung jika hendak ke mana-mana. Mujurlah ada anggota Bomba yang datang dan usung Tok beramai-ramai, kemudian bawa Tok dengan pacuan empat roda ke pusat pemindahan ini bersama dengan ubat-ubatan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Seorang lagi warga emas, Mariam Muhamad, 73, berkata beliau dan enam lagi ahli keluarganya menjadi mangsa banjir pertama yang terpaksa berpindah malam tadi.
“Rumah Tok berdekatan dengan sungai dan Tok keluar dari rumah pada pukul 7 petang sebab masa itu air sudah naik paras lutut, mungkin sekarang sudah paras dada.
“Alhamdulillah, sekarang ini ada pusat pemindahan yang selesa untuk berpindah dan kerajaan juga sediakan pelbagai kemudahan seperti makanan, tempat tidur, khemah untuk mangsa banjir. Syukur sangat, walaupun susah, tapi kami selesa,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]ADw4dcKkCqs[/wpdevart_youtube]