KUALA LANGAT – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyampaikan sumbangan kewangan kira-kira RM326,000 kepada 104 maahad tahfiz persendirian di negeri itu bagi meringankan beban kos operasi sekolah berkenaan.
Pengurus Besarnya Azlan Md Alifiah berkata semua penerima bantuan berkenaan telah ditapis dan dipilih sendiri oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.
Katanya PKNS turut menyumbang RM165,000 kepada 2,082 pelajar asnaf dari 62 sekolah agama di daerah Petaling dan Kuala Langat sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan akan datang.
“Bantuan berupa sumbangan kewangan, alat tulis, cermin mata dan basikal diharap dapat meringankan beban keluarga pelajar asnaf pada sesi persekolahan 4 Jan depan.
“Bantuan ini juga dapat bantu pelajar asnaf terus belajar tanpa mengalami sebarang kekangan kewangan,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian bantuan itu di Maahad Integrasi Tahfiz Sains Istana Bandar, Banting di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim dan Pengurus Sektor Pengurusan Hubungan Pengeluar Zakat LZS, Shamsuri Ashaari. – BERNAMA