PORT DICKSON – Sebanyak 783.9 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM157.5 juta yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang pada tahun 2009, dilupuskan di tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam (Kualiti Alam Sdn Bhd) di Bukit Nenas dekat sini, Khamis.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang Datuk Jamaludin Kudin berkata dadah yang dilupuskan itu melibatkan satu kes rampasan dadah terbesar di negeri itu pada tahun 2009.
“Pelupusan barang kes ini adalah melibatkan dadah yang dirampas yang mana kes mahkamah telah selesai perbicaraan.
“Ini juga bertujuan untuk mengelakkan tempat penyimpanan menjadi tidak tersusun dan menyukarkan pergerakan keluar masuk barang kes bagi tujuan perbicaraan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelupusan dadah itu hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan Supt Ayub Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kualiti Alam Khalid Bahsoon.
Dalam perkembangan lain, Jamaludin berkata bagi 11 bulan pertama tahun ini, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM22.7 juta. – BERNAMA