KUALA LUMPUR – Ratu pecut, Felicia Mikat menerima kata semangat dan pujian di laman sosial yang mengiktiraf kejayaan gadis genit itu meraih tiga pingat emas untuk Malaysia di Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura, minggu lepas.
Netizen mula menyampaikan ucapan mereka kepada pelari berusia 16 tahun itu selepas kejayaannya dalam acara 100m, 200m and 400m wanita bagi kategori T13 (masalah penglihatan).
Felicia mula menjadi viral sejak semalam apabila seorang pengguna Facebook dengan nama Rapahi Edris memuat turun gambarnya yang hanya disambut ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.
“Kasihan adik Felicia, hanya keluarga yang sambut di Lapangan Terbang Kota Kinabalu walaupun telah menyumbang tiga pingat emas di Sukan Paralimpik di Singapura baru-baru ini. Apa pun warga Sabah mengucapkan tahniah dan kami merasa bangga,” katanya.
Catatan berkenaan pantas dikongsi dan diulas netizen dari seluruh negara yang mengucapkan tahniah atas kejayaannya itu.
Hitz FM Sabah turut memuat turun gambar Felicia dengan pingat emas dan Jalur Gemilang di Stadium Nasional Singapura selepas majlis penyampaian pingat.
“Gadis ini layak menerima tepukan gemuruh! Felicia Binti Mikat 16 tahun, pelari pecut dengan masalah penglihatan dari Tambunan yang menang 3 emas di Sukan Para ASEAN Singapura!
“Dia layak menerima semua ‘likes’, ‘shares’ & pelukan daripada kami! Kami bangga dengan anda, Felicia!” tambah catatan itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Baidin, Tuaran di Tambunan, Sabah itu yang menerima dorongan daripada keluarganya dan jurulatih, mempunyai cita-cita besar menjadi pelari bertaraf dunia di masa hadapan.
“Saya ingin menjadi seorang atlet yang berjaya dan menjadi juara dunia pada masa akan datang. Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan luar negara dan sangat gembira untuk menang pingat emas buat negara. Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih saya yang membantu mencapai kejayaan ini,” katanya kepada Bernama sewaktu APG baru-baru ini.
Berkongsi harapan sama adalah jurulatih Felicia, Tony Sawan yang mahu menjadikan anak didiknya itu pelari yang terkenal.
“Harapan saya ialah untuk menjadikan dia (Felicia) atlet kelas dunia. Masih ada kelemahan yang perlu dibaiki daripada segi kekuatan, tenaga dan ketahanan.. kami sedang menyediakan dia untuk edisi 2017 di Malaysia,” kata guru pendidikan khas berusia 55 tahun itu.
Felicia bukanlah satu-satunya atlet negara yang menonjol di APG kerana ada beberapa lagi atlet berpotensi yang layak menerima pengiktirafan sama seperti atlet biasa.
Di Singapura, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 314 atlet dan pegawai menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia dengan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Thailand muncul juara keseluruhan dengan 94 emas, 76 perak, 79 gangsa diikuti Indonesia 81-74-63. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]bpAj3EJYjWA[/wpdevart_youtube]