KUALA LUMPUR – Semua sambutan tetamu kehormat di sekolah perlu dihadkan supaya tidak menjejas masa pengajaran dan pembelajaran murid, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
“Segala jenis persiapan dalam menjalankan sesuatu majlis di sekolah contohnya dalam menyambut kedatangan menteri atau timbalan menteri perlu dikurangkan dan disambut ala kadar tanpa mengambil masa pembelajaran dan pengajaran,” kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mahdzir menjawab soalan Senator Datuk Ng Chiang Chin yang ingin tahu cadangan kementerian mengatasi dan mengurangkan masalah tekanan dan kepenatan di kalangan para pendidik.
Mahdzir berkata kementeriannya memahami bahawa guru turut menjalankan pelbagai tugas di sekolah selain daripada melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
“Saya tahu guru melaksanakan pelbagai tugas khas seperti urusan data, warden, guru kelas dan guru disiplin.
“Tetapi istilah beban tugas ini sepatutnya ditukar kepada menggalas tanggungjawab,” katanya. – BERNAMA