PUTRAJAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bakal diiktiraf sebagai anggota Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pengiktirafan sebagai anggota INSARAG akan membolehkan SMART menghulurkan bantuan kemanusiaan ke negara yang ditimpa bencana alam dengan mudah walaupun hanya dengan notis singkat.
Beliau berkata SMART melakukan persediaan rapi selama tiga tahun untuk memperoleh pengiktirafan itu.
“Ketika ini latihan sedang dilakukan bersama pasukan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang bertindak selaku mentor sebelum melalui penilaian akhir pada Mei tahun depan.
Saya yakin pasukan ini telah sedia untuk penilaian akhir dan insya-Allah SMART akan mendapat pengiktirafan itu Jun nanti,” katanya selepas meninjau latihan, persediaan dan pembangunan keupayaan SMART di Pusat Kawalan Bencana Negara di Pulau Meranti dekat sini hari ini.
Dengan pengiktirafan itu, katanya, Malaysia bakal menjadi negara kedua di ASEAN dan kelapan di Asia diiktiraf sebagai pasukan mencari dan menyelamat di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan itu juga meletakkan SMART sebaris dengan pasukan mencari dan menyelamat dari Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura yang telah lama diiktiraf dunia, katanya.
SMART ketika ini memiliki 143 anggota yang terdiri daripada kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).
Shahidan dalam pada itu berkata kadet SMART dicadang ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awal tahun depan untuk menyediakan barisan pelapis terlatih.
Beliau turut mencadangkan SMART mewujudkan anggota sukarelawan seperti yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dengan sasaran mendapatkan 1,000 sukarelawan buat permulaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]FlNlKLakM7k[/wpdevart_youtube]