KUALA LUMPUR – Anggota UMNO perlu mendukung kepimpinan sedia ada dan tidak mewujudkan kumpulan kecil jika mahu parti itu terus kekal kukuh, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan anggota UMNO yang cuba mewujudkan serpihan sokongan dan kumpulan kecil, kononnya untuk melontarkan pandangan berkaitan kepentingan parti, sebenarnya hanya melemah dan akan merosakkan parti itu.
“Kalau mahu parti kukuh, jangan ada serpihan dalam parti, supaya parti terus bersatu.
“Apa perlu mengadakan perjumpaan lain, di tempat lain, dengan kumpulan yang lain, dengan pemikiran yang lain dan pendirian yang lain,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Piala Presiden UMNO 2015, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh. – BERNAMA