KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya minggu lepas.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Sugendran, 26, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Dis lepas.
Surendran didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada C. Umarani, 28 dengan menggunakan pengunci sepit udang motosikal di hadapan kedai serbaneka Maxvalue Ringgit Store Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam Brickfields, di sini pada 8.30 malam, 3 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimana pun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak dan ibu yang sudah tua. – BERNAMA