KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Tengku Adnan berkata keyakinannya itu berlandaskan kepada kematangan para perwakilan dan anggota UMNO dalam menghadiri perhimpunan itu yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 12 Disember ini.
“Saya berkeyakinan perhimpunan agung kali ini akan berjalan dengan baik walaupun terdapat desas-desus akan timbul masalah di perhimpunan agung ini.
“Ini kerana UMNO adalah parti yang matang, perwakilan matang, pemerhati matang, ahli-ahli juga matang, tidak akan timbul sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama mahasiswa bersempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 3.0 2015 di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata persiapan setakat ini juga berjalan lancar termasuk aspek kawalan keselamatan.
Di majlis sama, Tengku Adnan menyerahkan 250 kad keanggotaan UMNO Cawangan Transit Mahasiswa kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang mendaftar sebagai anggota UMNO.
Kad tersebut merupakan kad sementara sebelum mahasiswa berkenaan diletakkan di cawangan pilihan mereka.
Setakat ini lebih 1,000 mahasiswa telah diterima menjadi ahli UMNO seluruh negara. – BERNAMA