KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak seharusnya bercakap tentang kesetiaannya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedangkan tindakan beliau sendiri sebenarnya telah memudaratkan parti serta anggota gabungan BN, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Beliau berkata bekas perdana menteri itu pernah meninggalkan UMNO ekoran perselisihan peribadi beliau dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan mengadakan jerayawara untuk menentang Abdullah, mengakibatkan BN mencatatkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum.
“UMNO dan BN sebenarnya mencatat prestasi buruk dalam pilihan raya umum 2008 sungguhpun gabungan itu masih menang namun dengan majoriti mudah. Parti pemerintah juga kehilangan lima negeri dalam pilihan raya itu, pertama kali perkara ini berlaku,” kata Salleh dalam catatan terkini beliau dalam blog sskeruak.blogspot.my bertajuk ‘Maybe Dr Mahathir forgot’.
Salleh berkata semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau tidak membenarkan, perkara yang kini diungkapkannya, bahawa perkara itu sepatutnya dibenarkan.
Sebagai contoh, Dr. Mahathir sendiri tidak bertolak ansur dengan kritikan daripada dua timbalan beliau, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan berkata bahawa ia perlu dilakukan menerusi saluran yang betul.
Bagaimanapun beliau kini menyatakan bahawa tidak salah untuk mengkritik dan bahawa (pemimpin) nombor dua seharusnya mengkritik nombor satu, kata Salleh.
“Beliau mendakwa Perdana Menteri Najib menyusun semula sistem undian parti supaya hanya undi daripada bahagian (UMNO) sahaja dikira agar dapat kekal berkuasa padahal Dr. Mahathir yang memperkenalkan sistem undian bonus selain tiada pencabar bagi jawatan nombor satu dan dua bagi mengelak daripada beliau dicabar,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]PEazonBDBL8[/wpdevart_youtube]