KUALA LUMPUR – Penggantungan sesebuah Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu dilihat sebagai langkah terakhir kerana ia boleh mengundang implikasi di peringkat antarabangsa.
Dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, KBS berkata tindakan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya walaupun kementerian itu mempunyai kuasa untuk menggantung mana-mana PSK melalui Akta Pembangunan Sukan 1997.
“PSK yang digantung berkemungkinan tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa kerana sudah tentu Badan Sukan Antarabangsa sukan berkenaan akan mengambil tindakan penggantungan PSK tersebut,” kata KBS bagi menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).
Johari ingin tahu sama ada kerajaan akan membuat rombakan besar-besaran ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran prestasi buruk di persada antarabangsa.
Selain itu, KBS berpendapat, masa depan sesebuah PSK adalah bergantung kepada anggota-anggota gabungan persatuan itu sendiri yang memilih pucuk pimpinan serta mempunyai kuasa dalam mengubah perlembagaan mereka demi kemajuan sukan di masa hadapan. – BERNAMA