KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyarankan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menubuhkan sebuah institut khusus yang memberi penekanan terhadap perkembangan dan pembangunan sektor pertanian.
Sultan Kelantan bertitah, pembangunan pertanian bagi membekalkan makanan perlu dilihat sebagai isu terpenting yang menjadi cabaran utama di masa hadapan.
“Beta ingin menyentuh tentang kepentingan sektor pertanian kepada kehidupan dan ekonomi masyarakat di Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Sesungguhnya aktiviti pertanian sangat penting untuk kesejahteraan sesebuah negara,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Ke-5 UMK di sini, Sabtu.
Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra; Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Mortaza Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.
Bagi membolehkan UMK berjaya dalam persaingan dengan institusi pendidikan lain yang lebih mantap dan kukuh, baginda menyarankan agar pimpinan dan seluruh warga UMK mengambil pendekatan yang agresif dengan mencipta kelainan dan keunikan tersendiri.
“Sesungguhnya pemikiran dan pendekatan yang bersifat di luar kotak sebenarnya selaras dengan falsafah penubuhan UMK yang berteraskan keusahawanan mestilah relevan dengan kedudukan dan keperluan semasa negara,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah para graduan adalah duta kepada universiti di peringkat nasional dan antarabangsa oleh itu baginda menasihatkan mereka agar tidak menghampakan harapan universiti dan ibu bapa dengan menggunakan segala ilmu dan pengalaman untuk memberi khidmat bakti kepada negara.
Terdahulu Mortaza semasa berucap pada istiadat tersebut berkata seramai 1,063 graduan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung sebanyak lima sidang bermula hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, seramai tiga graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (19 graduan), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (59), Ijazah Sarjana Muda (982 graduan). – BERNAMA