KUALA LUMPUR – Perbahasan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO yang bersambung pada Jumaat menyaksikan pembahas membidas perlakuan mereka yang tidak setia kepada UMNO.
Ini termasuk mereka yang menentang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak. Antaranya wakil Perak, Datuk Hamzah Mohd. Kassim, yang mempertikaikan kesetiaan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepada parti.
“Apa yang menyedihkan, kita dapat melihat air muka presiden ketika berucap jelas menunjukkan kehampaannya dengan apa yang berlaku di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, baru-baru ini.
“Ini kerana apa yang dibuat oleh bekas presiden parti yang dibantu timbalan presiden itu menyentap perasaan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Hamzah berkata, Najib sebagai presiden UMNO sekarang adalah seorang yang cukup terbuka dan memberikan keselesaan kepada semua ahli parti.
“Jangan disebut lagi di peringkat akar umbi bahawa presiden parti kongkong ahli parti dan juga rakyat,” katanya.
Ucapan panas Hamzah ini mendapat teguran Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang meminta perwakilan bertenang dan menghormati hari Jumaat.
Badruddin mengingatkan perwakilan, perkara yang sudah berlaku biarkan berlalu.
“Ubah muka surat dan baca topik lain… jangan sampai saya bagi kad merah,” katanya. – BHarian Online
[wpdevart_youtube]56O4mXjdRMo[/wpdevart_youtube]