KUALA LUMPUR – UMNO Sabah, pemenang Anugerah Membantu Rakyat (Membara), bertekad akan terus memperjuangkan nasib rakyat Sabah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata anugerah itu juga menjadi pencetus semangat kepada UMNO Sabah untuk terus gigih bekerja dan berkhidmat membantu rakyat yang memerlukan pembelaan.
“Bagi UMNO Sabah, usaha membantu rakyat tidak akan terhenti setakat ini, atau kita sudah rasa cukup berpuas hati dengan pengiktirafan ini.
“Sebaliknya, kita sedar banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk membantu rakyat,” katanya kepada Bernama di luar Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini, hari ini.
Mula dilaksanakan pada 2014, Program Membara diilhamkan daripada program Setia Bersama Rakyat (Semarak) yang digerakkan oleh bekas Menteri Penerangan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat pada 1987, ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata anugerah itu juga hasil kerja keras, kesungguhan dan keikhlasan 25 Bahagian UMNO Sabah membantu rakyat di peringkat akar umbi menerusi penganjuran pelbagai program.
Kesemua program itu disusun mengikut tema bagi setiap bulan dan dilaksanakan secara bersepadu oleh kepimpinan bahagian dengan kerjasama ketiga-tiga sayap parti – Wanita, Pemuda dan Puteri.
Menjelas lanjut mengenai program Membara di Libaran, Ketua Penerangan UMNO bahagian itu, Abdul Manap Lakariba berkata bahagian berkenaan melaksanakan program bantuan seperti bantuan persekolahan serta program-program informasi berkaitan isu setempat, tanah adat, keselamatan dan sebagainya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Sepanggar Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata bagi memastikan kelangsungan program tersebut, kerajaan negeri menggunakan bantuan pihak berkaitan seperti badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan.
Jainab yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah berkata sebanyak 25 NGO yang berdaftar dengan kementeriannya mewakili seluruh lapisan masyarakat termasuk wanita, kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya, akan turun padang membantu kerajaan mendengar masalah rakyat.
Beliau berkata hal itu kerana ada dalam kalangan rakyat yang memerlukan bantuan kerajaan, namun mereka tidak tahu kaedah dan medium untuk meminta pertolongan daripada kerajaan.
“Memang ada bantuan, tetapi ada di antara mereka (rakyat) tidak tahu mengenainya. Oleh itu saya sentiasa mengharapkan semua pihak bersama-sama mencari sesiapa yang memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata UMNO Sabah akan terus berjuang memastikan tiada jurang taraf kehidupan terutama dari segi infrastruktur antara penduduk di bandar dan luar bandar.
Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas itu, berkata masalah utama yang sedang diperjuangkannya adalah kemudahan bekalan air bersih secara berterusan kepada penduduk.
Namun, Tawfiq yakin perkara itu dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun lagi apabila bermulanya pembinaan empangan air di Gudang Empat, Tawau melibatkan kos lebih RM300 juta, bagi meningkatkan kapasiti bekalan air bersih. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]6m91Yqf_e6Q[/wpdevart_youtube]